MAKLUMAT PERMOHONAN LESEN PERKAPALAN DOMESTIK
Definisi perkapalan domestik di bawah Seksyen 65A Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 [Ordinan No.70/1952] (“OPS 1952”) adalah merujuk kepada penggunaan kapal bagi tujuan berikut:
- untuk menyediakan perkhidmatan, selain daripada perikanan di perairan negara termasuklah di Zon Ekonomi Eksklusif;
- untuk pengangkutan kargo dan penumpang:
- dari mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia ke mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia; atau
- dari mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia ke mana-mana tempat di Zon Ekonomi Eksklusif atau sebaliknya.
Lesen Perkapalan Dalam Negeri
Seksyen 65L OPS 1952 memperuntukkan bahawa semua kapal yang terlibat dalam perkhidmatan perkapalan domestik hendaklah memiliki Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL). Kegagalan mana-mana pemilik, penyewa, tuan atau ejen kapal untuk memiliki lesen yang sah merupakan suatu kesalahan dan jika disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Pengecualian Pemakaian Seksyen 65L OPS 1952
Subseksyen 65L (3) MSO 1952 mengecualikan pemakaian Seksyen 65L OPS 1952 kepada Kapal Daftaran Malaysia yang berikut:
- berat bersih di bawah 15 tan
- dilesenkan di bawah Seksyen 475 MSO 1952 (lesen bot);
- dilesenkan di bawah MSO 1960 (Sabah) dan (Sarawak); dan
- milikan/sewaan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri atau Lembaga Pelabuhan.
Dasar Kabotaj
Seksyen 65KA MSO 1952 menghadkan perkapalan domestik kepada Kapal Daftaran Malaysia sahaja. Penggunaan Kapal Daftaran Asing hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Kapal Daftaran Malaysia tidak dapat memenuhi permintaan sektor-sektor tertentu tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh Menteri Pengangkutan.
- Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 [Ordinan No.70/1952]; dan
- Domestic Shipping Licensing Board Regulations 1981 [P.U(A) 27/1981].